ayam-berbulu-bersalut-tepung
BUKIT MERTAJAM – “Saya tidak akan makan lagi di restoran itu,” luah seorang pelanggan selepas insiden terjumpa bulu ayam pada hidangan makanan yang dibeli dari sebuah restoran terkenal, di sini.

Ismail Halim, 45, berkata, dia membawa isteri dan tiga anaknya ke restoran berkenaan, kira-kira jam 12 malam Jumaat lalu dan memesan beberapa jenis hidangan, termasuk hidangan ayam itu.

Menurutnya, kerana kekenyangan, dia membungkus hidangan ayam itu untuk dibawa pulang ke rumah, namun, pada mulanya tidak mengesyaki apa-apa kerana ayam itu disalut dengan tepung.

“Keesokan harinya (Sabtu) kira-kira jam 12 tengah hari, isteri saya, Rosmawati Mustafa, 45, mengeluarkan hidangan ayam itu untuk dimakan.

“Bagaimanapun, ketika mengoyak lapisan tepung, dia terkejut apabila mendapati bulu ayam sepanjang kira-kira setengah inci masih melekat pada ayam itu, lalu menunjukkannya kepada saya,” katanya kepada Sinar Harian.

Ismail berkata, dia bertindak menghubungi restoran berkenaan melalui nombor talian mudah alih yang tertera pada kotak bungkusan bagi memaklumkan mengenai penemuan itu, namun, kecewa apabila kakitangannya mengambil sikap endah tak endah dengan meminta dia membawa ayam itu kembali ke restoran untuk ditukar dengan ayam baru.

Tidak berpuas hati dengan respons yang diberikan, dia kemudiannya menghubungi nombor pejabat pula setengah jam kemudian, dan sekali lagi, dia kecewa apabila mendakwa kakitangan itu tidak tahu apa yang perlu dilakukan.

Ismail berkata, dia kesal dengan pengurusan restoran yang seolah-olah bersikap lepas tangan dengan apa yang terjadi.

Menurutnya, bukan soal wang yang difikirkannya kerana harga hidangan itu hanyalah sekitar RM14 sahaja, namun, apa yang ingin dituntut adalah permohonan maaf dari pihak restoran kepada keluarganya.

“Sebagai sebuah restoran terkenal dan dikunjungi ramai pelanggan, sepatutnya mereka menjaga kualiti makanan yang dihidangkan, “ katanya.

Menurutnya, insiden itu menyebabkan isteri dan anak-anaknya yang memakan hidangan sama pada malam berkenaan menjadi loya dan trauma dek kerana teringat akan bulu ayam itu.

Malah, kesannya masih terasa hingga ke hari ini dan mereka dilihat seperti sudah serik untuk memakan hidangan ayam.

“Hingga hari ini pihak restoran tidak menghubungi saya untuk meminta maaf. Saya bukannya ingin menuntut ganti rugi, sekurang-kurangnya mereka hubungi saya dan minta maaf pada isteri dan anak-anak,” katanya yang sudah dua kali mengunjungi restoran berkenaan sebelum kejadian.

Ismail berharap apa yang terjadi ke atas keluarganya dijadikan pengajaran, dan menasihati orang ramai supaya lebih berhati-hati ketika menikmati hidangan di mana-mana restoran sekali pun.

Dia juga berharap pihak restoran menjaga kualiti makanan yang dihidangkan kepada pelanggan kerana ia mampu memberi kesan kepada tahap kesihatan.

p/s : Agak-agak restoran apa ni ye....